Bagaimanapun seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali berlangsung perlawanan besar, isu penyokong berang kerana gagal mendapatkan tiket selepas beratur panjang berjam-jam terus menghantui bola sepak negara.

Dalam kekecohan hendak mendapatkan tiket, ada pula yang pengsan, malah di Stadium Perak, Ipoh hari ini seorang penyokong rebah dipercayai akibat sawan ketika sedangan berbaris, sebelum dibawa ke hospital menaiki ambulan.

Isu tiket ini bagaikan tiada kesudahan. Ia berlaku tidak kira dalam perlawanan Piala FA, Piala Malaysia, malah tahun lalu melibatkan acara lebih besar iaitu Sukan SEA yang mana Malaysia mara ke final bola sepak, sebelum kalah 0-1 kepada Thailand.

Jelas terdapat kelemahan ketara dalam sistem pengagihan dan penjualan tiket, terutama memasuki peringkat besar seperti separuh akhir dan akhir.

Bagi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, Perak dan Terengganu masing-masing diberi 30,000 tiket. Pihak Malaysia Football League (MFL) pula menjual 10,000 tiket secara atas talian.

Bagaimana tiket tersebut hendak ‘sampai’ ke tangan peminat? Ia terpulang kepada persatuan bola sepak negeri. Mereka menjual di daerah-daerah terpilih, secara berpusat di stadium utama dan atas talian, malah ada yang diagih kepada kelab penyokong.

Perkara yang sering dipertikaikan adalah bagaimana tiket diagih. Contohnya di Stadium Perak hari ini, kaunter jualan dibuka pada pukul 9.15 pagi, namun ditutup sejam kemudian dengan alasan tiket habis. Ia dianggap tidak logik apabila puluhan ribu tiket terjual dalam masa singkat.

Di Terengganu, Jawatankuasa Pengurusan Tiket Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mahu menjalankan siasatan terperinci bagi meneliti keberkesanan kaedah pengagihan tiket.

Timbalan Presidennya, Hishamuddin Abdul Karim berkata, satu post mortem akan dilakukan dan sekiranya kaedah sedia ada tidak lagi relevan, ia akan diubah kepada secara berpusat.

Dalam zaman teknologi serba canggih seperti hari ini, hinggakan mahu membeli tiket bas, menonton wayang, menambah nilai kredit telefon, membayar rumah sehingga membeli barangan sebesar televisyen, peti sejuk atau perabot boleh dilakukan secara atas talian, rasanya kaedah penjualan tiket secara atas talian juga sudah boleh digunakan sepenuhnya.

Apabila cadangan seperti ini diutarakan, ada yang mengatakan ‘bagaimana orang-orang kampung’ hen­dak beli tiket kerana mereka tidak tahu teknologi dan hanya mahir membeli tiket ‘fizikal’ yang dijual di stadium.

Suka atau tidak, selagi alasan itu dijadikan halangan untuk memperkenalkan sistem penjualan tiket atas talian yang diakui lebih efektif, selagi itu isu penyokong berang gagal membeli tiket selepas berbaris berjam-berjam akan terus timbul.

Isunya di sini, penyokong bukan sahaja berang kerana gagal mendapatkan tiket tetapi mereka marah dan rasa ditipu apabila gagal membeli tiket selepas beratur berjam-jam, datang seawal pagi atau ada yang sanggup tidur di stadium semalaman menunggu kaunter dibuka kerana datang dari jauh.

Menerusi penjualan atas talian, mereka hanya perlu berada di depan komputer atau telefon bimbit untuk berurus niaga. Hadkan penjualan tiket kepada seorang mungkin boleh membeli dua keping, jadi siapa cepat dia dapat. Ia juga antara kaedah terbaik untuk mengatasi isu ulat tiket.