Salah memainkan peranan sebagai pembantu di Stadium Amex pada Sabtu lalu dengan membuka ruang kepada Roberto Firmino menjaringkan dua gol manakala Philippe Coutinho menambah satu. Selepas melakar lima kemenangan daripada enam perlawanan, Liverpool kini kembali berada dalam empat kelompok pasukan terbaik buat kali pertama sejak Ogos lalu.

Kini, Liverpool perlu segera mengalihkan tumpuan mereka dan selepas gagal menempah tiket ke pusingan kalah mati Liga Juara-juara dengan lebih awal, apabila terikat 3-3 menentang Sevilla biarpun sudah mendahului 3-0, bakal menghadapi Spartak Moscow dalam perlawanan terakhir Kumpulan E.

Liverpool sudah meledak 25 gol dalam lapan perlawanan ter­akhir dalam semua kejohanan dan pastinya skuad kendalian Jurgen Klopp itu lebih berkeyakinan tinggi.

Klopp menyifatkan persembahan Liverpool ketika membelasah Brighton adalah paling baik pada musim ini walaupun The Reds terpaksa berdepan dengan kekalahan 2-0 kepada pendahulu liga Manchester City.

Pengendali dari Jermain itu turut memuji aksi cemerlang penyerang Brazil, Firmino yang menjaringkan dua gol cantik yang menjadikan jumlah jaringannya setakat ini menjadi 11 dalam semua kejohanan.

“Roberto meledak dua gol namun jujurnya, apa yang dilakukan oleh dia dengan jaringan ini menggembirakan saya. Dalam semua serangan dilakukan, dia memenangi bola. Dengan semua pemain di sekelilingnya, anda akan membiasakan diri. Mereka semua berlainan dan bagus. Saya suka pemain seperti ini dan sebab itu mereka berada di sini,” kata Klopp.

Salah meneruskan aksi cemerlang apabila dia berjaya mengatasi rekod bekas pemain Liverpool seperti Robbie Fowler, Fernando Torres dan Luis Suarez dengan menjaringkan 12 gol dalam 15 penampilan pertamanya dalam liga. – AFP