Kemenangan tersebut sekali gus membolehkan skuad Reds terus memberikan tekanan ke atas dua pencabar terdekatnya Manchester City dan Chelsea dalam perebutan gelaran juara Liga Perdana setelah mengumpul 30 mata dalam 12 perlawanan.

Kemenangan itu turut mengembalikan semangat anak buah Jurgen Klopp yang sebelum ini tumpas 0-2 kepada Red Star Belgrade dalam kempen Liga Juara-juara.

Keputusan di Anfield hari ini bermakna Liverpool kini telah memenangi lima perlawanan terakhir menentang Fulham dalam sejarah Liga Perdana, dengan pertembungan terbaharu ini adalah yang pertama di antara mereka dalam liga sejak Februari 2014.

Liverpool dilihat bekerja keras untuk mencari gol pembukaan yang akhirnya diperoleh pada minit ke-41 menerusi bintang Mesir, Salah yang dile­takkan selaku penyerang utama berjaya memecah kebuntuan.

Jaringan tersebut terhasil selepas Fulham tersentak dengan jaringan ofsaid daripada penye­rangnya, Aleksandar Mitrovic untuk membolehkan Liverpool membuat serangan balas pantas dan menghantar bola kepada Salah yang bijak melepasi pertahanan lawan.

Memasuki babak kedua, pemain sayap Shaqiri melebarkan kelebihan Liverpool pada minit ke-53 apabila berada tepat untuk menyambut hantaran jauh bek kiri Andrew Robertson sebelum melepaskan tendangan rendah melepasi penjaga gol Fulham, Sergio Rico.

Liverpool kini telah memenangi sembilan perlawanan liga di laman sendiri di bawah bim­bingan Klopp ketika menentang pendatang baharu, dengan 27 jaringan dan bolos tiga.

Kemenangan itu menyaksikan Reds tidak kalah dalam 27 perlawanan liga di laman sendiri, dengan rekod terpanjang adalah pada Ogos 2009 iaitu 31 perlawanan.

Ini merupakan kekalahan kali keenam berturut-turut Fulham dalam persaingan liga, sekali gus menyamai rekod sedia ada. – AGENSI