Salah menjaringkan satu gol ketika membantu The Reds melakar kemenangan 3-0 ke atas City dalam aksi suku akhir pertama tidak diturunkan dalam pertembungan derby menentang Everton ekoran kecederaan pangkal paha.

Salah menjadi pemain utama Liverpool pada musim ini setelah meledak 38 gol dalam semua kejohanan. Kecederaan tersebut diperoleh ketika pemain Mesir itu beraksi menentang City.

“Tidak pasti sama ada 100 peratus. Kami berlatih pada pukul 5 petang. Mungkin ya, mungkin tidak namun kita akan lihat. Kami akan membuat keputusan sama ada Salah bermain atau tidak selepas berlatih,” kata bos The Reds, Jurgen Klopp.

Dalam pada itu, Jordan Henderson terlepas pertemuan penting di Etihad apabila digantung perlawanan akibat mengutip kad kuning ketiga kejohanan tersebut sewaktu melakar kemenangan di Anfield pada minggu lalu.

Memiliki kelebihan bekalan selesa dengan tiga gol membuatkan Klopp tersenyum lebar semasa mengendalikan latihan pasukan namun dia enggan menerima status sebagai pasukan pilihan.

“Saya tidak berminat (status pasukan pilihan). Kami hanya di depan dengan tiga gol. Sesuatu yang lebih baik berbanding jangkaan saya namun anda semua tahu kami masih ada kerja yang belum diselesaikan. Kami tidak fikir pasukan mana menjadi pilihan,” katanya lagi. - AGENSI