Anak-anak buah Jurgen Klopp kini menduduki tangga kedua dengan satu mata di belakang Manchester City ketika saingan berbaki lapan perlawanan.

Mereka akan berdepan juara Bundesliga, Bayern Munich untuk perebutan tiket suku akhir Liga Juara-Juara di Munich esok selepas seri tanpa jaringan di Anfield, minggu lalu.

"Saya akan bersikap jujur dengan kamu. Pertandingan paling berprestij buat saya adalah UCL (Liga Juara-Juara).

"Bagaimanapun impian seluruh bandar raya ini dan juga kelab adalah Liga Perdana.

"Jadi, saya gembira jika dapat mengorbankan impian saya untuk memenuhi impian peminat, namun berjaya memenangi kedua-dua kejuaraan pasti lebih hebat dan itulah yang sedang kami usahakan," katanya kepada pemberita.

Bintang Mesir itu berkata, dia berharap City akan keciciran mata dan Loverpool memanfaatkan situasi tersebut.

"Persaingan amat sengit dan kami bakal berdepan beberapa baki perlawanan yang sukar, begitu juga mereka (City).

"Apa yang boleh kami lakukan adalah memenangi kesemua perlawanan dan dalam masa sama berharap lawan akan keciciran mata," katanya lagi.

Selepas 30 perlawanan, City kini mengumpul 74 mata manakala Liverpool dengan 73.

Kali terakhir Reds dinobat sebagai juara Liga Perdana adalah pada 1990 iaitu gelaran ke-18 mereka. - AGENSI