Menurut portal sukan Sepanyol, Diario Gol, bekas gandingan Salah di Liverpool, Philippe Coutinho memberitahu Messi bahawa pemain antarabangsa Mesir itu berminat untuk me­nyarung jersi Barcelona.

Coutinho mendedahkan mengenai perkara itu ketika dalam proses perpindahan dari Anfield ke Camp Nou pada Januari lalu.

Salah, 25, membuat penampilan sensasi pada musim pertama bersama Liverpool apabila meledak 40 gol daripada 45 perlawanan, dan berada di landasan untuk meraih anugerah Kasut Emas Liga Perdana Inggeris dengan me­ngumpul 30 gol setakat ini.

Sementara itu satu lagi portal sukan Sepanyol, Don Balon melaporkan, berbanding Real yang secara terbuka menyatakan minat untuk mendapatkan Salah, belum ada sebarang langkah diambil oleh Barcelona setakat ini.

Gergasi bola sepak Sepanyol itu yang menghampiri kejua­raan La Liga ke-25 sebaliknya lebih berminat membeli pe­nyerang Perancis, Antoine Griezmann daripada Atletico Mad­rid.

Salah mempunyai kontrak di Anfield sehingga musim panas 2022, dan pihak pengurusan tertinggi Liverpool dijangka meningkatkan tawaran untuk me­yakinkan pemain itu agar kekal.

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pula yakin, Salah tidak akan meninggalkan pasukan hanya selepas semusim.

“Ia bukan situasinya, saya langsung tidak terfikir (Salah akan pergi).

“Sembilan bulan lalu, dia datang ke sini untuk mengorak satu langkah ke depan dalam kariernya. Dia melakukannya dengan baik.

“Sebelum tiba di Liverpool dia ada beberapa pilihan lain, tetapi memilih untuk datang ke sini. Jadi mengapa dia hendak pergi selepas semusim yang menakjubkan?,” kata Klopp. – AGENSI