Jika 2017, kemenangan pertamanya sekadar menjadikan bintang Liverpool itu sebagai pemain kedua Mesir selepas Mahmoud al Khatib (1983), namun, bagi 2018, pemain berusia 26 tahun itu mencipta sejarah lebih besar buat negaranya apabila muncul pemain pertama Mesir memenanginya buat kali kedua berturut-turut.

“Saya memasang impian untuk memenangi anugerah ini sejak kecil lagi. Sekarang saya sudah menang dua kali berturut-turut pula. Terima kasih kepada keluarga saya, rakan sepasukan dan penyokong.

“Saya dedikasikan trofi ini kepada negara saya, Mesir,” katanya ketika berucap selepas menerima trofi daripada Presiden Konfederasi Bolasepak Afrika, Ahmad Ahmad sambil disaksikan Presiden Liberia yang juga bekas pemain bola sepak terkemuka, George Weah.

Pada majlis itu, Salah me­nge­te­pikan saingan rakan sepa­sukannya di Liverpool, Sadio Mane dari Senegal dan bintang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang dari Gabon yang berada dalam senarai teratas.

Kecemerlangan Salah menjaringkan 44 gol bersama Li­verpool dalam semua pertan­dingan, musim lalu, menjadi kriteria utama pemilihannya sekali lagi memenangi anugerah itu.

Jika berjaya mengekalkan pres­tasinya itu untuk tempoh beberapa tahun akan datang, Salah mampu mengikut jejak langkah Yaya Toure, Samuel Eto’o dan Weah yang pernah memenangi lebih daripada dua gelaran. – AFP