Pemain Terbaik Tahunan itu cedera dan terpaksa dibawa keluar pada minit ke-26 ketika The Reds tewas 3-1 kepada Real Madrid dalam aksi final Liga Juara-Juara, Sabtu lalu.

Berdasarkan pasukan perubatan Mesir, bahu Salah hanya terseliuh dan bukannya dislokasi. Masa untuk pulih di antara 10 hari hingga tiga minggu.

Mesir berharap dapat menggunakan Salah bagi menghadapi Uruguay dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada 15 Jun ini.

“Saya seorang pejuang. Walau apa pun yang berlaku, saya berharap saya akan kembali cergas untuk ke Rusia dan membuatkan anda semua bangga,” kata Salah.

Salah cedera selepas dijatuhkan oleh Sergio Ramos malah lebih daripada 223,000 peminat menandatangani petisyen kepada Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) agar pertahanan Real itu dikenakan hukuman kerana dipercayai sengaja menjatuhkan Salah. - AGENSI