Reds menempah tempat ke perlawanan akhir di Kiev, 26 Mei selepas menyingkirkan Roma dalam aksi timbal balik, yang berkesudahan 13 gol berjaya diledakkan dalam kedua-dua pertemuan itu.

Skuad bimbingan Jurgen Klopp kini mengintai peluang memburu kemenangan keenam Eropah dan menambah koleksi trofi bersejarah kelab itu, walaupun terpaksa bergantung harap kepada jentera serangan yang dianggotai Mane dan Salah bagi meledak gol.

Gandingan penggempur Liverpool itu, di samping Emre Can yang dijangka kembali ke pangkuan pasukan merupakan penganut agama Islam dan mereka bakal berpuasa selama sebulan yang merupakan salah satu daripada rukun Islam.

Dengan Ramadan bermula 17 Mei ini dan hanya berakhir pada 14 Jun, ini bermakna aksi di Kiev akan berlangsung dalam bulan puasa, dan apa yang menjadi persoalan ialah bagaimana amalan tersebut bakal memberi kesan kepada sistem diet dan pemakanan atlet elit.

Sewaktu perlawanan akhir Liga Juara-Juara itu diadakan, umat Islam telahpun berpuasa selama 10 hari. Dalam tempoh tersebut penganut Islam tidak dibenarkan makan atau minum di siang hari, iaitu daripada fajar hinggalah matahari terbenam.

Sewaktu di Kiev, matahari hanya terbenam sebelum pukul 9 malam, jadi pada perlawanan akhir itu nanti, pemain beragama Islam hanya dibenarkan menjamah makanan kira-kira 50 minit sebelum sepak mula dilakukan.

Bagaimanapun, mereka masih mempunyai pilihan, dengan pemain dibenarkan tidak berpuasa dan boleh menggantinya sebelum Ramadan akan datang, namun masih belum diketahui bagaimana trio Liverpool itu mengendalikan isu tersebut dan ia bergantung kepada kepercayaan individu.

Sewaktu ditemubual oleh Mail pada Disember 2016, Mane pernah bercakap tentang kesetiaan kepada agama, dan kepentingan Islam dalam kehidupan seharian.

“Agama amat penting bagi saya. Saya menghormati peraturan yang telah digariskan dalam Islam dan saya juga solat lima kali sehari, sentiasa,” kata bintang antarabangsa Senegal itu.

Begitu juga dengan Salah, sewaktu dia masih bersama Chelsea lagi, pemain Mesir itu mengakui, dia berdepan kesukaran untuk seimbangkan jadual pramusim sewaktu Ramadan.

“Ramadan agar sukar kerana kami perlu berlatih sebanyak dua sesi setiap hari, dengan cuaca yang sangat panas, saya pula bermain dalam setiap perlawanan. Saya tidak boleh minum sehingga 9.30 malam. Apabila anda berlatih dua kali sehari, tenaga anda merosot sewaktu sesi kedua tetapi puasa amat bermakna kepada saya,” katanya. - AGENSI