Bintang Switzerland, Xherdan Shaqiri akhirnya menjaringkan gol pertama bersama Liverpool dalam saingan liga, manakala Sadio Mane menyumbat dua jaringan untuk membolehkan anak-anak buah Jurgen Klopp mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 10 perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Reds mengatasi City dengan kelebihan tiga mata selepas mengumpul 26 mata. City bagaimanapun mampu memintas semula kedudukan jika mengalahkan Tottenham, Selasa ini.

Bagaimanapun harapan Liverpool untuk mengekalkan rekod tanpa bolos di tempat sendiri dalam 10 perlawanan berturut-turut tidak kesampaian apabila Callum Paterson menjadi pemain pertama membolosi gawang Reds di Anfield musim ini pada minit ke-77.

Klopp melakukan tiga pertukaran dalam kesebelasan utama dengan membawa masuk Adam Lallana, Dejan Lovren dan Alberto Moreno, biarpun mengekalkan formasi yang digunakan ketika menewaskan Red Star Belgrade 4-0 pada saingan Liga Juara-Juara, Khamis lalu.

“Harap kami dapat meneruskan momentum ini sehingga akhir musim.

“Kombinasi saya, Mo (Salah) serta Bobby (Roberto Firmino) cukup sempurna, dan semua orang sering bercakap dengan trio serangan kami.

“Bagaimanapun pada saya kami bermain sebagai satu pasukan dan semua pemain memainkan peranan untuk memudahkan tugas penyerang, kredit harus diberi kepada seluruh pasukan,” kata Mane. - AGENSI