RAKAMAN video menunjukkan Mohamed Salah menggunakan telefon pintarnya ketika memandu. - AGENSI

Berdasarkan rakaman yang dimuat naik di sosial media menunjukkan Salah menggunakan telefon pintarnya ketika memandu kereta jenama Mercedes di mana dia dikelilingi beberapa kanak-kanak selepas kejayaan menewaskan West Ham 4-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, Sabtu lalu.

Salah dilaporkan menjalani latihan bersama rakan-rakannya di Melwood bagi melakukan sesi regangan badan selepas penyerang Mesir itu beraksi selama 88 minit menentang West Ham.

Polis Merseyside berkata mereka menyedari terhadap rakaman video tersebut pada pukul 1 petang semalam dan mengesahkan sudah mengadakan perbincangan bersama Salah yang menjadi pemain termahal Liverpool selepas melanjutkan kontrak baharu selama lima tahun.

Berdasarkan undang-undang memandu Britain, pemandu dilarang menggunakan telefon pintar semasa memandu walaupun sedang berhenti di lampu isyarat.

“Selepas berbincang dengan pemain, Polis Merseyside menyedari rakaman video tersebut serta keadaan sekeliling ketika rakaman itu dibuat.

“Kami sudah bercakap dengan pemain dan akan mendapatkan berita susulan sama ada kelab atau pemain yang akan memberi komen tentang perkara ini,” kata jurucakap Liverpool.

Dalam pada itu, Polis Merseyside mengesahkan rakaman video itu menunjukkan Salah menggunakan telefon pintarnya ketika memandu.

“Perkara ini akan dihantar ke jabatan berkaitan. Penalti tolak enam mata terhadap lesen memandu selain denda 200 pound (RM1000) dikenakan jika didapati bersalah menggunakan telefon pintar ketika memandu,” kata Polis Merseyside. - AGENSI