Barcelona yang sudah ter­singkir daripada kancah kelab elit Eropah memastikan mereka tidak me­lakukan kesilapan dalam aksi domestik apabila membenam Villarreal 4-1, sekali gus mengekalkan kedudukan pendahulu dengan 84 mata ketika sai­ngan berbaki dua perlawanan.

Real bagaimanapun terus menghambat skuad bimbingan Luis Enrique itu apabila membelasah Granada 4-0 untuk berkongsi 84 mata dan memiliki kelebihan satu perlawanan berbanding Barcelona.

Real dan Barcelona adalah dua pasukan paling cemerlang dalam sejarah bola sepak Sepanyol de­ngan masing-masing memiliki 32 serta 24 kejuaraan La Liga.

Dalam aksi di Camp Nou, dua jaringan Lionel Messi, selain gol Neymar serta Luis Suarez memastikan harapan Barca untuk mempertahankan gelaran masih menyala.

Mereka bukan sahaja tidak boleh melakukan kesilapan pada baki pertemuan menentang Las Palmas (14 Mei) dan Eibar (21 Mei), malah berharap Real keciciran mata dalam tiga perlawanan terakhir mereka.

Sejurus tamat permainan, Enrique memuji prestasi trio Messi, Neymar dan Suarez dengan menyifatkan mereka sebagai pe­nyerang terbaik di dunia.

“Dulu, kami mungkin hanya ada satu atau dua pemain bintang dalam pasukan, tetapi sekarang kami memiliki tiga penyerang tulen yang merupakan pemain terbaik di dunia,” kata Enrique.

Neymar membuka jaringan pada minit ke-21, namun Villarreal mengejutkan tuan rumah apabila menyamakan kedudukan 11 minit kemudian menerusi Cedric Bakambu.

Beberapa saat sebelum tamat babak pertama, Messi kembali meletakkan tuan rumah di depan, sebelum Suarez menjarakkan kedudukan 3-1 pada minit ke-69.Messi kemudian melengkapkan gol keempat pada minit ke-82.

Sementara itu, James Rodriguez dan Alvaro Morata menge­tuai amukan Real apabila masing-masing meledak dua gol.

Tindakan Real merehatkan sembilan tonggak, termasuk Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale yang baru kembali daripada aksi Liga Juara-Juara tidak menjejaskan Los Blancos apabila meledak empat gol pada babak pertama.

Rodriguez membuka jaringan seawal minit ketiga, diikuti pada minit ke-11, manakala gol Morata hadir hadir di minit ke-30 dan 35.

“Sebagai jurulatih, ini perkhabaran gembira. Semua pemain mampu memberi sumba­ngan dan berada dalam keadaan terbaik setiap kali diberi peluang.

“Tiada apa yang boleh diperkatakan lagi, selain saya puas hati dengan pencapaian mereka,” kata jurulatih Real, Zinedine Zidane. – AGENSI