Pemain berusia 21 tahun itu menjadi fenomena di temasya edisi ke-18 itu selepas meledak empat gol dalam tiga perlawanan bagi membantu Malaysia menamatkan saingan di kedudukan teratas Kumpulan E.

Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berjaya memainkan watak pemusnah ketika menundukkan Korea Selatan selepas meledak dua gol dalam saingan yang berlangsung di Bandung, minggu lalu.

“Saya gembira dengan aksi yang dipamerkan pada peringkat kumpulan termasuk perlawanan ketiga ketika menentang Bahrain meskipun dimasukkan dalam sebagai pemain gantian.

“Saya berjaya meledak gol pada perlawanan tersebut dan secara tidak langsung mendapatkan rehat yang cukup untuk memastikan cergas sepenuhnya ketika menentang Jepun,” katanya.

Skuad muda negara disasarkan untuk sekurang-kurangnya menyamai rekod kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia B-23 iaitu layak ke suku akhir.

Safawi mengakui bahawa Jepun memiliki kelebihan tersendiri namun percaya dalam tempoh 90 minit perlawanan, banyak perkara boleh berlaku.

“Saya berazam untuk berikan aksi seratus peratus dan berusaha untuk menyudahkan peluang terhidang dengan sebaiknya,” katanya.