Ketika pemain dan peminat masih berpesta meraikan kemenangan skuad Sbornaya menerusi penentuan sepakan penalti, Cherchesov pula sedang menyusun strategi terbaik, mengenal pasti kecergasan pemain serta menyenaraikan kesebelasan utama bagi menghadapi Croatia.

Katanya, Croatia pasti akan menampilkan aksi berbeza apabila bertemu tuan rumah dan seandainya Rusia mahu melangkah lebih jauh, maka mereka juga perlu tampil dengan permainan berbeza dan lebih menarik.

Dalam masa sama, beliau me­ngakui sesetengah pasukan mempunyai kemahiran yang tinggi namun taktikal yang tepat telah membuktikan bagaimana pasukannya berjaya menundukkan Sepanyol.

“Tugasan (sebelum ini) telah selesai. Kini kita perlu memikirkan tentang perlawanan akan datang.

“Satu perkara adalah menjadi pasukan atau pemain yang kuat. Satu lagi perkara ialah menjadi pasukan atau pemain yang kuat pada masa dan tempat yang tepat. Itulah yang kami ada,” katanya kepada pemberita.

Dalam aksi pusingan kedua, Rusia melakukan kejutan besar apabila menyingkirkan Sepanyol sekali gus mara ke peringkat suku akhir meskipun terpaksa menggunakan taktikal bertahan yang mengheret aksi tersebut ke penentuan sepakan penalti bagi menentukan pemenang.

Bagaimanapun, Uruguay menjadi satu-satunya pasukan yang berjaya melakar kemenangan besar 3-0 ke atas Rusia dalam aksi kumpulan dalam saingan Piala Dunia 2018. – AGENSI