Itu amaran terakhir yang dikeluarkan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) semalam, susulan keganasan yang dicetuskan penyokong mereka dalam aksi pembukaan menentang England, Sabtu lalu.

Malah, Kesatuan Bola Sepak Rusia (RFU) turut didenda 150,000 (RM692,000) atas kekacauan yang dicetuskan penyokong di Marseille, hingga menyebabkan lebih 35 peminat England dimasukkan ke hospital, dua daripadanya parah.

“Kami menggantung sementara penyingkiran Rusia (daripada Euro 2016) sehingga tamat kejohanan.

“Tindakan akan diambil serta merta jika keganasan yang sama berulang di stadium dalam baki perlawanan Rusia di Perancis,” kata UEFA dalam satu kenyataan.

Polis Perancis turut meningkatkan kawalan keselamatan dan berada dalam keadaan berjaga-jaga menjelang dua perlawanan Kumpulan B yang diklasifikasi sebagai ‘berisiko mengundang keganasan’ iaitu England menentang Wales (esok) dan Rusia bertemu Slovakia hari ini.

Perancis juga mengambil tindakan drastik menghantar pulang sekumpulan penyokong Rusia selepas melakukan pemeriksaan terhadap 29 daripada mereka di Marseille.

Pegawai tertinggi Alpes-Maritimes, Francois-Xavier Lauch berkata, mereka yang dihantar pulang dikenal pasti sebagai penyokong ‘berisiko tinggi’ yang mampu mencetus keganasan bola sepak.

Katanya, mereka ditahan ketika dalam perjalanan ke Lille, di mana Rusia akan menentang Slovakia.

Tindakan itu diambil sehari selepas Persatuan Bola Sepak England menyuarakan kebimbangan Perancis tidak melakukan usaha yang cukup untuk menumpaskan samseng bola sepak susulan pergaduhan di antara penyokong Rusia dan England di Marseille, Sabtu lalu.

Lebih 50,000 penyokong England dijangka membanjiri Lens untuk pertemuan dengan Wales, dan 2,400 anggota polis sudah dikerah berjaga-jaga.

Dalam kejadian Sabtu lalu, peminat kedua-dua pasukan bertempur di jalanan, tetapi penyokong Rusia terdahulu bertindak ganas memasuki kawasan penyokong England di stadium untuk melakukan serangan.

- UEFA beri amaran singkir Rusia daripada Euro

- Kesatuan Bola Sepak Rusia didenda RM692,000

- Sekumpulan penyokong Rusia dihantar balik

- 50,000 penyokong England dijangka membanjiri Lens pada Khamis

- 2,400 anggota polis dikerah berjaga-jaga

- Penyokong tanpa tiket diarah jauhi stadium

KEGANASAN 
BOLA SEPAK