Rooney, 31, berkata, masa depan bersama United yang disertainya sejak 13 tahun lalu dan pasukan negara menjadi topik perdebatan terutama selepas namanya tidak tersenarai dalam skuad kebangsaan.

“Keputusan akan dibuat dalam tempoh beberapa minggu lagi. Saya perlu berbincang dengan keluarga dan kemudiannya akan putuskan mengenainya.

“Saya fikir, saya hanya perlu buat keputusan membabitkan bola sepak. Sebaik saja saya tahu, saya pasti kamu akan tahu mengenainya,” kata Rooney yang memastikan saingan Liga Juara-Juara buat United musim depan selepas menang ke atas Ajax di final Liga Europa.

Jelas bekas pemain Everton itu, beliau belum ada sebarang tawaran, sama ada daripada England atau pun dari China yang dikatakan menjadi destinasinya.

Keputusan juga mungkin menyaksikan Rooney berpuas hati untuk memainkan sedikit peranan bersama United atau pun kekal dalam kesebelasan utama.

“Saya rasa, ‘Rooney’ yang muda mungkin akan rasa lebih kecewa. Saya rasa saya faham apa yang terbaik dan diperlukan untuk kelab.

“Saya hormati semua itu. Saya gembira menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan membantu kelab memenangi piala.

“Jadi saya perlu putuskan sekarang, sama ada mahu teruskan apa yang saya sudah lakukan atau pun keluar daripada sini untuk dapatkan peluang beraksi secara lebih kerap, “ kata Rooney kerap disisihkan daripada kesebelasan utama sejak di bawah kendalian Jose Mourinho. - AFP