Ronaldo, 32, memuat naik foto Rodriquez, 22, sedang mendukung anak perempuan mereka yang baru dilahirkan dengan ditemani anak sulungnya, Cristiano Jr di Instagram.

“Alana Martina baru sahaja dilahirkan. Kedua-dua mereka dalam keadaan baik. Kami semua sangat gembira,” tulis Ronaldo.

Rodriquez selamat melahirkan anak pertamanya di Hospital Quiron Universal yang terletak berdekatan tempat tinggal Ro­naldo pada tengahari semalam.

Pada Jun lalu, Ronaldo menjadi ayah kepada pasangan kembar yang dilahirkan menerusi ibu tumpang.

Laporan menyatakan pasa­ngan kembar lelaki dan perem­puan yang diberi nama Eva serta Mateo itu dilahirkan oleh seorang wanita yang tinggal di sebelah pantai barat Amerika Syarikat (AS).

Ronaldo sebelum itu sudah mempunyai seorang anak lelaki bernama Cristiano Jr. yang dilahirkan pada 2010.

Dia turut dilahirkan menerusi ibu tumpang, namun Ro­naldo tidak pernah mengesahkan perkara itu.

Seminggu sebelum kelahiran anak perempuannya, Ronaldo berkata, menjadi bapa merupakan satu pengalaman menakjubkan.

“Menjadi seorang bapa sesuatu yang unik dan satu perjalanan yang menarik. Ia melengkapkan hidup saya.

“Ia mengajar saya tentang kasih sayang yang saya tidak tahu pernah wujud. Ia telah melembutkan saya dan memberi saya perspektif yang berbeza dalam hidup,” katanya.

Terdahulu, ketika Ronaldo sedang menunggu kelahiran anak perempuannya, Natacha Sofia yang terkenal menerusi program realiti televisyen, Love on Top mendakwa pemain itu mempu­nyai hubungan dengannya. – AGENSI