Hukuman itu sekali gus me­nyaksikan pemain kelahiran Portugal itu tidak dapat beraksi pada aksi kedua di tempat lawan awal pagi esok selepas menang 3-1 di tempat sendiri sebelum ini.

Ronaldo sepatutnya secara automatik akan digantung satu perlawanan kerana dibuang padang tetapi tindakannya menolak pengadil, Ricardo de Burgos Bengoetxea menyebabkan dia menerima hukuman lebih berat.

Selain digantung, Ronaldo juga didenda 3,805 euro (RM19,254). Pemain Terbaik Dunia itu ba­gai­ma­napun mempunyai masa 10 hari untuk membuat rayuan ke atas penggantungan tersebut.

Jika rayuannya ditolak, Ronal­do bukan sahaja terlepas aksi kedua Piala Super Sepanyol tetapi juga empat perlawanan pertama Liga Sepanyol musim ini iaitu menentang Deportivo la Coruna, Valencia, Levante dan Real Sociedad.

Cuma berita baik buat Real Madrid, khidmat Ronaldo untuk kempen mempertahankan kejuaraan Liga Juara Juara Eropah tidak terjejas berikutan ia hanya akan bermula pada 12 dan 13 September. – AFP