Perjanjian bernilai 99.2 juta pound (RM529.78 juta) sudah dipersetujui di antara kedua-dua kelab dengan bintang Portugal itu menandatangani kontrak selama empat tahun bersama juara Itali itu.

Ronaldo, 33, menjulang empat trofi Liga Juara-juara sepanjang sembilan tahun bersama Real.

“Sudah tiba masanya untuk saya membuka lembaran baharu dalam kehidupan ini dan atas sebab itu saya meminta kelab untuk melepaskan saya,” kata Ro­naldo.

Rekod dua perpindahan termahal dunia dilakukan oleh Paris Saint-Germain bagi mendapatkan Neymar pada harga 200 juta pound (RM1.06 bilion) pada Ogos lalu dan 166 juta pound (RM886.68 juta) untuk Kylian Mbappe.

Barcelona berbelanja 142 juta pound (RM758.52 juta) untuk Philippe Coutinho daripada Liverpool dan bagi Juventus jumlah bayaran untuk mendapatkan Ronaldo adalah lebih sedikit daripada 75.3 juta pound (RM402.09 juta) ketika mereka mendapatkan Gonzalo Higuain daripada Napoli pada 2016.

Juventus akan bertemu Real dalam Kejohanan Pia­la Antarabangsa di Washington, Amerika Syarikat pada 4 Ogos ini.

Ronaldo menyertai Real daripada Manchester United dengan harga 80 juta pound (RM402.09 juta) pada 2009 dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab itu dengan 450 gol dan menjadi pemenang Ballon d’Or pada 2008, 2013, 2014, 2016 dan 2017.

Dia juga membantu Real menjulang trofi Liga Juara-juara sebanyak empat kali sepanjang lima musim terakhir termasuk menja­ringkan gol dalam final 2014 dan 2017.

“Untuk Real, Ronaldo adalah simbol kecemerlangan kami.

“Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada pemain yang telah membuktikan dirinya sebagai pemain terbaik dunia selain meletakkan kelab dalam fasa terbaik sepanjang dia bersama kami.

“Real Madrid sentiasa akan menjadi rumah awak,” kata Real dalam satu kenyataan.

Namun, berikutan perpindahan itu, jumlah pengikut Ronaldo di laman sosial mengalami pengurangan dengan begitu mendadak. – AGENSI