Media Portugal dan Sepanyol pada awal bulan ini melaporkan, penyerang berusia 32 itu te­lah menjadi bapa kepada dua anak kembar yang dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpang.

Difahamkan, bayi tersebut dilahirkan di Amerika Syarikat dan telah dilawati oleh ibu Ro­naldo.

Portugal kalah 0-3 kepada Chile pada separuh akhir, namun masih mempunyai satu perlawanan untuk diharungi iaitu penentuan tempat ketiga.

Beberapa jam selepas perlawanan Ronaldo memuat naik status di Facebook dengan memberitahu, dia akan meninggalkan Piala Konfederasi di Rusia lebih awal untuk ‘akhirnya melihat sendiri anak saya buat kali pertama’.

“Saya sedang berkhidmat buat skuad kebangsaan dan seperti bia­sa, tubuh serta raga saya adalah kepada negara biarpun dua anak lelaki saya baru dilahirkan.

“Malang sekali, kami gagal mencapai objektif yang dimahukan tetapi saya yakin kami akan terus memburu kegemilangan buat Portugal.

“Presiden bola sepak Portugal dan barisan pe­ngurusan skuad kebangsaan hari ini memberi kata-kata yang menyentuh hati saya dan saya tidak akan melupakannya,” katanya lagi.

Ronaldo sudahpun mempu­nyai seorang anak lelaki berusia tujuh tahun yang diberi nama Cristiano Ronaldo Jnr, yang turut dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpang.

Media baru-baru ini turut melaporkan, teman wanita pemain itu, Georgina Rodriguez sedang hamil lima bulan. – AGENSI