Bintang penyerang Portugal itu bagaimanapun tetap dikekalkan dalam senarai skuad Los Blancos dan masih berkemungkinan diturunkan dalam perlawanan di Santiago Bernabeu.

Media tempatan melaporkan, Ronaldo menjalani latihan di gimnasium hari ini sebagai langkah berjaga-jaga selepas mengalami hentakan pada kaki kanannya ketika membantu Real menewaskan Osasuna 3-1 dalam saingan La Liga Sabtu lalu.

Gareth Bale pula kembali menjalani latihan penuh selepas pulih daripada kecederaan buku lali yang menyaksikan dia terpaksa diketepikan hampir tiga bulan, namun pengendali pasukan Zinedine Zidane belum pasti sama ada akan menurunkan bintang Wales tersebut dalam pertemuan menentang wakil Itali itu.

Real dalam satu kenyataan hari ini turut mengesahkan tonggak pertahanan Portugal, Fabio Coentrao tidak menyertai latihan akibat kecederaan, namun kelab itu kemudian menyiarkan gambar pertahanan kanan Brazil, Danilo yang sudah pulih daripada kece­deraan kaki kiri dan bersedia untuk diturunkan.

“Real Madrid meneruskan persiapan untuk menghadapi perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara menentang Napoli yang akan diadakan di Bernabeu pada Rabu (4.45 pagi Khamis waktu Malaysia).

“Dalam sesi latihan yang dikendalikan oleh Zidane, dia turut memanggil pemain pasukan simpanan Real iaitu Enzo (Zidane). Cristiano Ronaldo dan Coentrao bagaimanapun hanya menjalani latihan dalam gimnasium,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, penjaga gol Napoli, Pepe Reina menyuarakan kebimbangan untuk menentang juara bertahan Real yang tidak pernah kalah di laman sendiri sepanjang musim ini, malah Real juga tidak pernah tewas di Bernabeu sejak Mac, 2015.

“Apabila anda ke sana sebagai pencabar, stadium itu sangat menakutkan. Sukar untuk beraksi di venue tersebut namun setiap pemain suka bermain di sana. Real Madrid pasukan yang kuat,” kata Reina. – AGENSI