Penyerang Real Madrid itu me­rangkul anugerah tersebut untuk kali kedua berturut-turut, menya­mai rekod dipegang seterunya dari Barcelona, Lionel Messi. Bintang Argentina itu menerima undian kedua tertinggi dengan pemain Brazil, Neymar di tempat ketiga.

Ronaldo, 32, merupakan penjaring terbanyak Liga Juara-juara musim lepas, dengan Real mempertahankan trofi Jun lalu setelah mencatat kemenangan ke atas Juventus, dan turut mengetuai kelab gergasi Sepanyol tersebut menjuarai La Liga buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.

“Sudah tentu saya gembira. Kejayaan ini merupakan sesuatu yang saya nanti-nantikan setiap tahun. Trofi yang kami menangi pada tahun lepas telah membantu saya merangkul anugerah ini. Teri­ma kasih kepada rakan sepasukan saya dalam Real Madrid.

“Saya juga mahu berterima kasih kepada mereka yang membantu saya berada di tahap sekarang,” kata Ronaldo dalam majlis anugerah tersebut di Menara Eiffel, Paris.

Ronaldo, yang turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik FIFA pada Oktober lalu, sebelum ini menerima anugerah Ballon d'Or pada 2008, 2013, 2014 dan 2016.

Dia menjaringkan 42 gol dalam semua pertandingan untuk Real musim lepas, dan turut meledakkan 15 gol dalam kelayakan Piala Dunia.

Ronaldo bakal mengetuai Portugal dalam Piala Dunia tahun depan di Rusia, dengan sasaran untuk menambah koleksi gelaran memenangi pertandingan pa­ling berprestij di dunia itu selepas menjuarai Kejohanan Eropah.

“Saya berharap dapat bermain di tahap ini untuk tempoh beberapa tahun lagi,” kata Ronaldo. – AFP