Pemain Terbaik Dunia itu dilayangkan kad merah oleh pengadil dari Jerman, Felix Brych seawal minit ke-29 selepas berbalah dengan pertahanan Valencia, Jeison Murillo.

Keputusan itu dilihat terlalu keras selepas Ronaldo yang bersaing untuk merebut bola dalam kotak penalti hanya melakukan sedikit sentuhan terhadap Murillo, yang kemudian merebahkan badan.

Bintang penyerang Portugal itu kemudian menyentuh sedikit kepala Murillo untuk memintanya bangun, namun pengadil mendakwa dia menarik rambut pemain lawan dan melayangkan kad merah selepas berbincang dengan pembantunya.

Ronaldo yang tidak percaya dengan keputusan itu terduduk di atas padang dan kelihatan menangis sebelum dipujuk oleh rakan-rakan sepasukan.

Ini adalah kad merah pertama buat Pemain Terbaik Dunia itu dalam kancah Liga Juara-Juara selepas membuat 154 penampilan.

Ketiadaan Ronaldo, 33, yang bakal terlepas perlawanan kedua Kumpulan H menentang Young Boys pada 2 Oktober ini bagaimanapun tidak menghalang Juventus daripada pulang bersama tiga mata selepas menang 2-0.

Kedua-dua gol juara Itali itu disempurnakan oleh Miralem Pjanic menerusi sepakan penalti pada minit ke-45 dan 51. - AGENSI