Penyerang Portugal itu muncul pemain pertama meledak gol dalam semua enam perlawanan kumpulan ketika pasukannya menumpaskan Borussia Dortmund 3-2 pada aksi terakhir Kumpulan H, hari ini.

Biarpun sedar Real bakal berdepan undian sukar dalam saingan 16 terbaik kerana menutup kempen kumpulan selaku naib juara di belakang Tottenham, namun Ronaldo percaya, itu tidak menjejaskan Los Blancos.

“Perkara paling penting adalah berjaya melepasi peringkat kumpulan.

“Sekarang, sasaran kami mempertahankan kejuaraan. Harap kami mampu memenangi Liga Juara-Juara sekali lagi,” katanya.

Walaupun kehebatan Ronaldo tidak boleh disangkal, namun keupayaan Real untuk memburu gelaran ke-13 sedikit diragui apabila mempamer aksi kurang meyakinkan.

Tuan rumah memerlukan gol lewat minit Lucas Vazquez untuk menang selepas Pierre-Emerick Aubameyang berjaya mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-43 dan 48.

Borja Mayoran terdahulu meletakkan Real di depan pada minit kelapan dan Ronaldo menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-12.

Real juga berdepan krisis pertahanan apabila Raphael Varane cedera kaki kiri, manakala Sergio Ramos, Dani Carvajal serta Casemiro digantung perlawanan dalam aksi La Liga menentang Sevilla, Sabtu ini. – AGENSI