Namun, jenama global CR7 mungkin boleh terjejas ekoran tuduhan rogol ke atas bintang Juventus itu di Amerika Syarikat, yang mana aduan telah dibuat pada 2009.

“Ronaldo, merupakan seorang usahawan sejati yang menawarkan produk, perkhidmatan dan peralatan digital.

“Dari segi pengaruh yang dimilikinya, ia sesuatu yang mengagumkan,” kata penulis buku ‘Marketing and Celebrities’, Jean-Philippe Danglade kepada AFP mengenai pemain itu yang turut memiliki muzium sendiri dan lapangan terbang yang menggunakan namanya di tempat asal Ronaldo di Madeira.

Majalah Forbes menganggarkan pendapatan Ronaldo bernilai AS$108 juta (RM447 juta) pada 2017, menerima gaji sebanyak AS$61 juta (RM252 juta) dan iklan AS$47 juta (RM194 juta).

Jumlah tersebut melonjak sebanyak AS$15 juta (RM62 juta) daripada tahun sebelumnya, dan bagaimanapun kedudukan Ronaldo tetap jatuh dari tangga pertama ke tempat ketiga.

Pencabar terbesar Ronaldo, Lionel Messi berjaya melonjak ke tangga kedua, setelah mencatat pendapatan sebanyak AS$111 juta (RM460 juta), selepas dia menandatangani kontrak baharu di Barcelona yang sekali gus meningkatkan gajinya yang dianggarkan bernilai AS$50 juta (RM207 juta) setahun kepada AS$86 juta (RM356 juta).

Pada usia 33 tahun, Ronaldo dilaporkan sanggup menerima potongan gaji pada musim panas ini apabila dia berpindah dari Real Madrid ke Juventus, setelah menandatangani kontrak yang dilaporkan bernilai 30 hingga ke 31 juta euro (RM143 juta hingga RM147 juta) setahun selepas cukai.

“Oleh disebabkan saya kaya, kacak, pemain yang hebat, orang cemburu dengan saya,” kata Ronaldo pada 2011.

Bagi penaja, pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or dan penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Juara-Juara dengan 120 gol, Ronaldo telah menjadi satu jenama yang menarik. - AFP