Ronaldo melebarkan statusnya selaku penjaring terbanyak dengan 21 gol sepanjang zaman dalam pertembungan derby itu, selain meletakkan Real berada di landasan tepat untuk mempertahankan gelaran dalam perlawanan akhir pada 3 Jun ini.

“Jumlah jaringan gol yang dilakukannya belum pernah dicatat oleh pemain lain, itu yang menjadikannya seorang pemain unik.

“Dalam perlawanan ini, kami bermain dengan sangat baik. Bukan mudah untuk menjaringkan tiga gol ketika menentang Atletico Madrid.

“Babak perta­ma menyaksi­kan kami cu­kup hebat apa­bila mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol kedua. Bagaimanapun gol kedua dan seterusnya muncul di penghujung perlawanan.

“Saya cukup gembira dengan prestasi yang dipamerkan oleh mereka. Menjaringkan tiga gol dan paling penting kami membawa bekalan selesa bertandang ke Stadium Vicente 
Calderon nanti,” kata Zidane.

Kejayaan tersebut turut melebarkan rekod kemenangan Real ke atas Atletico sepanjang bertembung dalam empat musim terakhir Liga Juara-Juara.

Real pernah mengecewakan anak-anak buah Diego Simeone dalam tempoh tiga tahun sebelum ini, termasuk pada perlawanan akhir 2014 dan 2016.

Pemain kebangsaan Portugal itu membuka tirai jaringan menerusi tandukan seawal minit ke-10.

Ketika barisan pemain bintang Real terlepas deretan peluang menambah jaringan, Ronaldo sekali lagi membuktikan kehebatannya apabila melepaskan rembatan padu dari tepi garisan kotak D menuju ke penjuru kanan gawang Atletico pada minit ke-71, sebelum melengkapkan hatriknya pada ketika saingan berbaki empat minit.

“Pasukan ini sugguh hebat. Saya menjaringkan gol tetapi prestasi rakan-rakan sepasukan saya cukup luar biasa dari awal hingga akhir,” kata Ronaldo.

Kejayaan tersebut turut meletakkan mereka di landasan yang tepat untuk muncul pasukan pertama berupaya mempertahankan gelaran dalam tempoh 27 tahun. – AFP