Penyerang Portugal itu menamatkan kemarau empat perlawanan tanpa jaringan apabila meledak dua gol ketika membantu kemenangan Real, sekali gus membawa mereka ke peringkat kalah mati.

Biarpun berjaya mencetak gol serta memenangi perlawanan, namun pemenang anugerah Ballon d’Or empat kali itu tidak gembira sebaik sahaja permai­nan berakhir dan melepaskan kemarahannya kepada sekumpulan wartawan.

“Bagaimana saya hendak bercakap dengan kamu jika satu perkara yang saya kata, kamu akan tulis lain?,” soal Ronaldo kepada pemberita ketika berjalan di zon media sejurus tamat perlawanan.

Media Sepanyol baru-baru ini melaporkan, Ronaldo bergaduh dengan kapten Real, Sergio Ramos ekoran prestasi hambar Los Blancos dalam saingan La Liga, malah dia juga dikatakan berbalah dengan pengurus pasukan, Zinedine Zidane dalam bilik persalinan ketika pasukannya seri 0-0 menentang Atletico Madrid, Ahad lalu.

Ramos menyelar kenyataan Ronaldo yang menyalahkan tindakan pengurusan kelab menjual Alvaro Morata dan James Rodriguez sebagai punca kemerosotan Real, yang memulakan musim 2017/2018 selaku penyandang juara Eropah dan La Liga.

Dua jaringan yang disempurnakan Ronaldo hari ini memboleh­kan dia muncul penjaring terba­nyak Liga Juara-Juara musim ini dengan lapan gol, malah secara keseluruhan pemain berusia 32 tahun itu sudah meledak 98 gol - hanya dua gol di belakang rekod Lionel Messi.

Dalam aksi di Stadium GSP, selain jaringan Ronaldo, Karim Benzema turut meledak dua gol, manakala Luka Modric dan Nacho masing-masing menambah satu jaringan bagi memastikan Real bangkit daripada aksi hambar liga domestik.

Real berada di tangga kedua Kumpulan H dengan 10 mata, tiga mata di belakang Tottenham Hotspur yang menang 2-1 ke atas Borussia Dortmund.– AGENSI