Kim Swee berkata rombakan perlu dilakukan kerana beliau tidak berkesempatan untuk menurunkan kesemua pemainnya malah pengendali dari Melaka itu juga mahu mengenal pasti pemain yang perlu diketengahkan bagi menghadapi Kelayakan AFC Bawah 23 pada Julai ini.

“Seperti kita tahu, ramai pemain belum berpeluang untuk bermain dan esok berkemungkinan saya akan menukar kesebelasan utama pasukan serta mengenal pasti beberapa lagi pemain untuk diketengahkan kerana saya perlu melihat prestasi mereka di peringkat yang lebih tinggi.

“Penting untuk sesiapa yang diturunkan esok harus tahu corak permainan kita dan daripada situ saya akan menilai mereka sebelum membuat pilihan senarai terakhir untuk Kelayakan AFC B 23.

“Kemungkinan saya rombak lebih daripada separuh skuad manakala yang lain akan berpeluang untuk bermain pada aksi persahabatan ketiga nanti (menentang Guangzhou Evergrande, Khamis ini),” katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kekuatan lawan, Kim Swee percaya Guangzhou R&F memiliki barisan pemain yang berkualiti dan menjangkakan perlawanan tersebut akan berlangsung dengan sengit.

Bagaimanapun beliau tidak mahu anak-anak buahnya mengulangi kesilapan yang sama iaitu melepaskan gol di awal permainan.

“Saya dimaklumkan Guangzhou R&F dan Guangzhou Evergrande akan menurunkan kebanyakan pemain liga simpanan termasuk pemain simpanan daripada Liga Super dan saya percaya pasukan Liga Super China berada di tahap yang bagus dan dengan pemain-pemain yang diturunkan akan beri saingan sengit kepada pemain kita.

“Apa yang penting kita perlu berusaha untuk bertambah baik daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Kita tahu kita dibolosi pada awal permainan jadi kita perlu kekal fokus bukan ketika wisel sepak mula ditiupkan tetapi sebaik sahaja keluar dari bilik persalinan.

“Apabila kita tidak dapat menyamakan kedudukan, kita akan jadi tertekan, jadi saya harap selepas ini perkara seperti itu tidak berlaku. Jika pemain menunjukkan sikap positif dan dengar arahan, saya percaya kita mampu mencapai kemenangan esok dan seterusnya,” kata Kim Swee.

Skuad B-22 negara tumpas 1-0 kepada China B-22 pada aksi persahabatan pertama di Stadium Pusat Sukan Xiangtan, China, Sabtu lalu. Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan seawal 23 saat permainan.