JOSE PEKERMAN (kanan) mententeramkan James Rodriguez yang mengalami kecederaan di Samara Arena, Samara, Rusia, kelmarin. REUTERS

Selepas sekadar di bawa masuk selaku pemain gantian ekoran kecederaan ringan di betis sewaktu Colombia terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam perlawanan pembukaan yang menyaksikan mereka tumpas 1-2 kepada Jepun, Rodriguez kembali ke pangkuan pasukan ketika membenam Poland 3-0.

Namun di Samara, semalam, pemain Bayern Munich itu kelihatan terhincut-hincut selepas perlawanan hanya berlangsung selama 31 minit, dan memaksa Pekerman melakukan perubahan kepada pasukannya selepas kehilangan salah seorang tonggaknya.

Pada pengakhirannya tandukan pertahanan Barcelona, Yerry Mina sudah memadai untuk menyaksikan Colombia memintas Senegal mara ke peringkat kalah mati.

Bagaimanapun, Rodriguez yang muncul penjaring terbanyak dengan enam gol sewaktu membantu Colombia melayakkan diri ke suku akhir, empat tahun lalu, mungkin tidak dapat diturunkan sewaktu Colombia berdepan England.

Pekerman berkata, buat masa ini, dia tidak dapat mengesahkan sama ada kecederaan betis yang menimpa pemain itu serius ataupun sebaliknya.

“Saya amat bimbang, pasukan saya berdepan situasi yang sangat sukar. Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini dalam sidang akhbar, kerana ia hanya mendedahkan kepincangan kami. Tetapi apa yang boleh saya katakan, situasi ini memang membuat kami tidak selesa,” akui Pekerman.

Khabar angin yang tersebar dalam kalangan media Colombia bahawa Rodriguez mungkin berdepan satu kecederaan baharu, tetapi Pekerman tidak dapat memberikan sebarang pengesahan.

“Saya tidak boleh mengesahkan ataupun menafikan. Dia menyertai sesi latihan seperti biasa, selepas itu, dia masih berada di dalam padang untuk berlatih sepakan percuma dan penalti,” katanya. – AFP