James RODRIGUEZ akan kembali bergandingan dengan Carlo Ancelotti
JAMES RODRIGUEZ akan kembali bergandingan dengan Carlo Ancelotti setelah Bayern Munich bersetuju untuk meminjamnya daripada Real Madrid selama dua tahun.

Walaupun diburu beberapa kelab ternama, pemain berasal dari Colombia itu memilih untuk menyertai juara Jerman, Bayern secara pinjaman selama dua tahun atas alasan untuk bersatu semula dengan Ancelotti yang pernah membawanya masuk ke Real sebelum ini.

Bayern juga diberi pilihan untuk membeli Rodriguez, 25, selepas berakhir tempoh pinjaman.

“Mendapatkan James Rodriguez sebenarnya merupakan impian jurulatih kami Carlo Ancelotti yang pernah berjaya berganding tenaga di Madrid sebelum ini. Tiada apa yang perlu dipersoalkan terutama dalam meningkatkan kualiti dalam pasukan kami,” kata pengerusi Bayern, Karl-Heinz Rummenigge.

Rodriguez kini sedang bersama Real Madrid di Los Angeles dalam program Jelajah Amerika Syarikat (AS) tetapi dijangka terbang ke Bayern hujung minggu ini untuk bersama kelab gergasi Jerman itu dalam jelajah di Singapura dan China pula.

Pertahanan Bayern, Mats Hummels dengan pantas mengalu-alukan kedatangan Rodriguez, yang merupakan penjaring terbanyak Piala Dunia 2014 dengan enam gol, menerusi akaun Twitter.

Ini kerana kehadiran Rodriguez secara pinjaman itu akan memantapkan lagi jentera serangan Bayern yang juga baharu mendapatkan khidmat Corentin Tolisso, 22, daripada kelab Perancis, Lyon. – AFP