Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mengumumkannya menjelaskan setiap pemain dan pegawai TFC III yang membawa pasukan ini muncul sebagai juara Piala Presiden 2018 dan TFCIV yang menjadi naib johan Piala Belia 2018 masing-masing bakal menerima RM2,000 dan RM1,000 setiap orang.

Dr. Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, pemberian itu sebagai penghargaan dan galakan kepada para pemain agar kekal cemerlang, dan dapat mengorak langkah membantu menjadikan negeri sebagai suatu kuasa bola sepak negara kelak.

“Insentif ini adalah berdasarkan kewangan semasa kerajaan negeri, InsyaAllah sekiranya mempunyai kewangan lebih, kita akan tingkatkan,” katanya ketika hadir dalam majis kesyukuran meraikan pasukan Piala Presiden TFC III dan Piala Belia TFC IV, di sini petang semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden PBSNT, Hihamuddin Abdul Karim; Pengurus yang juga Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim, para pemain TFC III dan TFC IV.

Menurut Dr Ahmad Samsuri, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh bagi memajukan bidang sukan di negeri ini khususnya membabitkan bola sepak dengan meneruskan penstrukturannya.

“Ini termasuklah mengekalkan TFC II (dulu dikenali sebagai T-Team) yang bakal bertindak sebagai pasukan pelapis untuk melahirkan pemain profesional, selain mengisi pemain-pemain berbakat daripada pasukan pelapis seperti TFC III, TFC IV,”ujar beliau.

Katanya, kejayaan TFC III dan TFC IV membuktikan bahawa pembangunan bola sepak dilakukan PBSNT berada pada landasan betul dan kesinambungan program dalam menyediakan pemain

pelapis berkualiti untuk diserapkan ke pasukan utama negeri perlu diberikan perhatian.

“Justeru itu,Jawatankuasa Tenikal dan Pembangunan PBSNT akan terus memantau dalam usaha untuk memastikan program yang dilaksanakan adalah tersusun dan sistematik,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE