Gol tunggal Espanyol dijaringkan oleh Oscar Melendo, melalui sentuhan pertamanya dalam pertandingan itu setelah dibawa masuk sebagai pemain gantian dua minit sebelum tamat perlawanan.

Melendo melakukan rembatan kaki kiri yang gagal dihalang penjaga gol Barcelona Jasper Cillessen, selepas Messi gagal meledakkan gol menerusi penalti pada minit ke-62, apabila tendangannya berjaya dihalang penjaga gol Espanyol Diego Lopez.

“Kami tahu harinya akan tiba juga, kami cuba menangguhkannya selama mungkin tetapi ini bukan harinya.

“Apa yang baiknya, kami mempunyai perlawanan kedua untuk mencipta kebangkitan. Kami bertuah kerana perlawanan itu diadakan di laman sendiri dan kami perlu menang tidak kira apa yang berlaku,” kata Sergio Busquets sejurus tamat perlawanan itu. -AFP