Jackie, 24, yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan balingan terbaik 64.95 meter untuk memadam rekod lama miliknya sendiri, 64.55m yang dilakukan di Korea Selatan pada April lalu.

Balingan Jackie jauh meninggalkan pemenang pingat perak, Mohd. Nizam Zuki juga dari ATM iaitu 44.78m, manakala Rizhan Rajmi dari Perlis meraih gangsa.

Menurut atlet kelahiran Sa­rawak itu, kejayaan memecah rekod kebangsaan ketika KL2017 tinggal tiga bulan untuk membuka tirai meningkatkan keyakinannya untuk meraih emas pertama.

“Memang sasaran saya cuba meme­cah rekod kebangsaan dalam setiap kejohanan yang di­sertai. Saya akui prestasi semasa semakin baik dan berharap mampu memuncak pada Sukan SEA.

“Saya akan membuat penampilan keempat dan kali ini. Beraksi di depan penyokong sendiri, saya mahukan emas, selain meletakkan sasaran mencatat balingan terbaik 66m.

“Dalam tiga pe­nam­pilan terakhir Sukan SEA, saya hanya berjaya memenangi gangsa di Indonesia, Myanmar dan Singapura,” kata Jackie kepada Utusan Malaysia.

Menurut Jackie, cabarannya pada Sukan SEA datang dari Fi­lipina, yang meraih emas menerusi Caleb John Stuart, dua tahun lalu, selain Thailand, yang pulang bersama perak menerusi Tantipong Phetchaiya (62.12m).

“Selepas ini saya akan beraksi pada Terbuka Thailand bulan depan dan harap saya dapat memecah rekod kebangsaan sekali lagi,” katanya lagi.

Kejohanan Maksak 2017 yang dianjurkan bersama Maksak Malaysia dan Perlis bermula hari ini sehingga Ahad.