Pengerusinya, Syed Abdullah Syed Mahmood berkata, tindakan drastik itu perlu diambil bagi mengembalikan semula maruah pasukan meneruskan saingan musim ini.

Menurutnya, dia khuatir jika tiada sebarang tindakan diambil berkemungkinan besar Stadium Sultan Muhammad IV yang menjadi gelanggang rasmi pasukan akan sepi gara-gara aksi tidak menentu pasukan.

"Keadaan ini menjadi parah apabila Bensoh dilihat gagal menurunkan kesebelasan utama pasukan bagi menggalas cabaran Liga Super walaupun berdepan Terengganu kita nampak ada perubahan positif.

"Namun apabila berdepan dengan Pahang yang mahu kemenangan, Bensoh telah meletakkan dua pemain kurang berpengalaman untuk mengemudi tengah dan hasilnya anda sendiri boleh lihat.

"Saya akui Bensoh ada berjanji sekiranya gagal menghadirkan keputusan positif dalam empat perlawanan dia akan melepaskan jawatan sebagai jurulatih Kelantan, namun tidak salah KAFA mengambil tindakan awal dengan merehatkan beliau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam perlawanan tersebut, Pahang nyata bukan tandingan Kelantan apabila mencatat kemenangan mudah 3-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan semalam.

Gol-gol Pahang dijaringan Forkey Doe (minit ke-13), Mohamadou Sumareh (minit ke-55) dan Nor Azam Azih (minit ke-88).

Sepanjang mengharungi sai­ngan Liga Super, Kelantan hanya memungut satu mata iaitu seri 1-1 dengan Terengganu dan kalah kepada Melaka United serta Pahang.

Abdullah memberitahu, sepanjang lapan perlawanan pramusim dan Liga Super dibawah kendalian jurulatih kelahiran Thailand itu, Kelantan gagal melakar keputusan positif kecuali ketika me­numbangkan Persija Jakarta pada aksi Piala Super, bulan lalu.

Selebihnya merela mereka bermain di bawah keupayaan sebenar dan situasi itu telah me­nimbulkan rasa panik dalam kalangan penyokong Kelantan.

"Penyokong sudah hilang sabar dengan peluang yang telah diberikan kepada Bensoh selama ini dan apa yang saya lihat dia gagal untuk membentuk semangat berpasukan dalam pemain Kelantan," ujarnya.