Selepas Isco dan Tana menjaringkan satu gol untuk pasukan masing-masing, Madrid bermain dengan 10 orang setelah Gareth Bale diberikan dua kad kuning kerana menyepak Jon Veira dan kemudian menolak pemain Las Palmas itu sehingga tumbang.

Tidak lama kemudian Viera men­­jaringkan sepakan penalti selepas ketua pasukan Madrid, Sergio Ramos memegang bola, dan Kevin-Prince Boateng menjadikan kedudukan 3-1 untuk pasukan pelawat. Tetapi, ketika permainan hampir ke penghujung­nya Cristiano Ronaldo menyem­purnakan sepakan penalti dan kemudian menanduk masuk gol penyamaan.

Keputusan itu menyebabkan Madrid kini menghuni anak tangga kedua La Liga dengan 56 mata, satu di belakang Barcelona tetapi mereka masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.

“Kami tidak gembira dengan keputusan seri. Namun, pada masa sama kami tidak boleh hilang akal. Kami perlu menganalisis semua perkara, fikir apa yang boleh kami ubah dan kami akan mengubahnya. Kami berusaha keras sebelum bangkit untuk 3-3 daripada 3-1.

“Kami memiliki karakter, kami boleh melakukan dengan lebih baik namun ada masanya kami perlu lebih bijak dan fokus,” kata Zidane.

Penyerang Madrid, Alvaro Morata mempunyai tiga peluang untuk menjaringkan gol namun dia berada dalam kedudukan ofsaid manakala Ronaldo dila­yangkan kad kuning oleh pengadil David Fernandez Borbalan kerana se­ngaja merebahkan badan untuk mendapatkan penalti.

Namun, Zidane enggan menjadikannya sebagai alasan.

“Saya tidak akan menyentuh mengenai isu pengadil, saya tidak pernah melakukannya. Kami tidak boleh menjadikannya sebagai alasan,” kata bekas pemain kebangsaan Perancis itu.

Mengenai Bale, yang bertindak di luar kawalan sehinggakan Madrid menerima padah, Zidane berkata dia tidak mahu memperbesarkan perkara tersebut. – AGENSI