Messi dan Ronaldo sentiasa bersaing semasa sendiri di La Liga sejak sembilan tahun lalu, sebelum secara tiba-tiba penyerang kebangsaan Portugal itu membuat kejutan untuk menyertai juara Serie A itu.

Real Madrid dan Barcelona masing-masing memenangi tiga perlawanan pembukaan dan berada di kedudukan teratas carta dengan pungutan sembilan mata.

“Real Madrid merupakan salah sebuah pasukan yang terbaik di dunia dengan dibarisi pemain terhebat (namun) terdapat bukti menunjukkan bahawa ketiadaan Cristiano Ronaldo membuatkan mereka kurang bagus.

“Sebaliknya ia menjadikan Juventus muncul salah sebuah pasukan pilihan untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara.

“Ia mengejutkan saya, saya juga tidak dapat bayangkan dia meninggalkan Madrid untuk menyertai Juventus.

“Terdapat banyak kelab yang mahukannya. Ia mengejutkan saya namun dia berhijrah ke sebuah pasukan yang terhebat,” kata Messi kepada Catalunya Radio yang disiarkan hari ini.

Pada awal Ogos lalu, Messi memberi ucapan di mana dia berkata Barca mahu memenangi Liga Juara-Juara musim ini selepas kecewa disingkirkan AS Roma di suku akhir musim lepas.

Pemain berjersi No. 10 itu menyatakan hasratnya untuk memenangi trofi tersebut selepas kali terakhir Barcelona memenanginya pada 2015.

“Inilah masanya, kami sudah tiga kali berturut-turut tersingkir di Liga Juara-Juara dan kekecewaan itu masih dirasai terutama musim lalu selepas tersingkir di Rome.

“Kami memiliki skuad yang hebat dan kami berupaya berjuang untuk itu. Kami kehilangan peluang untuk menang semasa era Pep Guardiola menentang Inter Milan dan Chelsea.

“Kami lebih hebat daripada mereka namun kami gagal ke pentas akhir hanya kerana beberapa masalah kecil,” ujar Messi. – REUTERS