Kemenangan Real tersebut membolehkan skuad bimbingan Zinedine Zidane menempah slot ke saingan akhir Liga Juara-juara musim ini.

Dalam aksi yang berakhir sebentar tadi, tuan rumah dilihat bermula garang di Stadium Vicente Calderon malah Atletico hampir mencetus kebangkitan menakjubkan menerusi tandukan Saul Niguez dan sepakan penalti Antoine Griezmann dalam tempoh 16 minit pertama untuk merapatkan jurang defisit kepada hanya satu gol.

Bagaimanapun gol di tempat lawan daripada Isco membuatkan Real boleh menarik nafas lega tambahan pula hatrik Cristiano Ronaldo dalam aksi separuh akhir pertama memberi kelebihan buat kelab gergasi Sepanyol itu.

Selepas ini Real di jadual berdepan Juventus dalam saingan akhir di Cardiff pada 3 Jun ini.

“Saya berasa amat gembira kerana berjaya mempamerkan peningkatan untuk melangkah ke final.

“Perjalanan pasukan amat jauh dan kami berjaya melakukannya dalam dua tahun berturut-turut dan anda perlu mengucapkan tahniah kepada skuad,” kata Zidane. - AFP