Bale, 28, sebelum ini berulang kali me­negaskan, dia gembira di Madrid dan tidak mahu pulang ke Liga Perdana Inggeris, namun masa depannya bukan lagi terletak di tangan sendiri.

Bekas bintang Tottenham itu tiba di Santiago Bernabeu pada 2013 bersama rekod perpindahan dunia 86 juta pound (RM479 juta).

Sejak itu, dia mengharungi musim yang gemilang bersama gergasi bola sepak Sepanyol tersebut dengan me­rangkul pelbagai kejuaraan, termasuk Liga Juara-Juara serta La Liga.

Bagaimanapun, dia kerap dihimpit masalah kecederaan dan terbaharu terpaksa diketepikan daripada aksi kelayakan Piala Dunia 2018 bersama Wales akibat masalah betis kiri.

Ketiadaan pemain berpe­ngaruh itu menyebabkan Wales gagal melayakkan diri ke Piala Dunia di Rusia tahun depan selepas tumpas 0-1 kepada Ireland dalam perlawanan terakhir Kumpulan D di Cardiff, hari ini.

“Masalah kecederaan yang sering menghimpit Bale menguji kesabaran (pengurus Real, Zi­nedine) Zidane dan (Presiden) Florentino (Perez).

“Zidane tahu, dia tidak boleh bergantung dengan pemain ini apabila saingan memasuki suku musim. Sekurang-kurangnya dia tidak boleh berada di ­prestasi terbaik,” lapor akhbar Sepa­nyol, El Confidencial hari ini.

Akhbar itu turut mendakwa, hobi Bale yang gemar bermain golf turut mencetuskan kebimbangan Real kerana ia me­ngundang kepada masalah belakang yang sering diihadapi.

“Real Madrid sedia untuk berpisah dengan Bale selepas dia memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara dalam tempoh empat musim bersama kelab.

“Namun dengan syarat jika berjaya mendapatkan pembeli yang sanggup membayar sekurang-kurangnya jumlah yang telah dikeluarkan ketika membeli pemain itu daripada Tottenham,” menurut laporan itu lagi. – AGENSI