Lopetegui secara rasmi dipecat oleh Real Madrid semalam, kurang lima bulan selepas dia dibuang oleh Sepanyol sebelum berlangsungnya Piala Dunia berikutan tidak memberitahu badan induk bola sepak negara itu bahawa dia telah menerima tawaran di Madrid.

Keputusan pemecatan tersebut dilakukan selepas lembaga pengarah kelab itu mengadakan mesyuarat, sehari selepas kelab gergasi Sepanyol itu dibelasah 1-5 oleh Barcelona di Stadium Nou Camp.

Jurulatih Real Madrid B, Santiago Solari akan mengambil alih tugas Lopetegui untuk menghadapi kelab divisyen ketiga, Melilla dalam aksi Copa del Rey, esok.

Media tempatan Sepanyol membuat spekulasi bahawa bekas pemain Madrid, Solari antara calon untuk membimbing skuad Los Blancos malah bekas pengurus Chelsea, Antonio Conte dan pengurus Belgium, Roberto Martinez turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Pemecatan tersebut pasti menjadi mimpi buruk kepada Lopegetui dalam kariernya. Selepas menjalankan tugas dengan baik bersama skuad remaja Sepanyol namun prestasinya kurang memberangsangkan di Porto sebelum membantu Sepanyol layak menyertai Piala Dunia 2018.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab kerana memberi peluang kepada saya dan usaha yang diberikan oleh pemain. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain untuk menghadapi baki saingan pada musim ini,” kata Lopetegui.

Dalam pada itu, Madrid berkata dalam satu kenyataan bahawa pemecatan jurulatih berusia 52 tahun itu adalah untuk mengubah pasukan ke arah lebh dinamik bagi memastikan objektif kelab pada musim ini dapat direalisasikan.

Lopetegui menggantikan Zinedine Zidane selepas bekas pemain Perancis itu meletakkan jawatannya setelah membantu Madrid menjuarai Liga Juara-Juara buat kali ketiga berturut-turut. – AP