Pemain tengah itu Casemiro menjelaskan bahawa jentera serangan pasukan Los Blancos tidak mempunyai masalah jika gagal mendapatkan khidmat penyerang sensasi Monaco, Kylian Mbappe atau Neymar.

Mbappe dikaitkan dengan perpindahan ke Santiago Bernabeu selepas mengharungi musim yang hebat di bawah kendalian Leonardo Jardin apabila merekodkan 26 gol dalam semua kejohanan yang disertai.

Akhbar Sepanyol, Marca melaporkan bidaan sebanyak 180 juta euro (RM898.3 juta) telah dipersetujui antara Madrid dan juara Ligue 1 itu, sekali gus menyaksikan bayaran yuran perpindahan yang bakal memecahkan rekod dunia milik pemain Manchester United, Paul Pogba.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh Monaco dan Casemiro sendiri menganggap bahawa Madrid tidak memerlukan pemain Perancis itu kerana sudah memiliki jentera serangan yang mantap, diterajui oleh pemain terbaik dunia Cristiano Ronaldo.

“Ini adalah perkara yang diperkatakan oleh semua orang di luar kelab. Kami sedar mengenai kehebatan serta bakat yang dimiliki Mbappe namun dalam masa sama kami memiliki trio BBC (Benzema, Bale, Ronaldo) yang mampu mencipta satu fenomena,” katanya. – AGENSI

Real Madrid sudah ada pemain terbaik di dunia - Casemiro