Turun selaku juara bertahan, Real bagaimanapun dimalukan 1-0 oleh CSKA Moscow dalam aksi Liga Juara-Juara hari ini, sekali gus mencatat tiga perlawanan tanpa kemenangan dan jaringan.

Ronaldo meninggalkan Real untuk menyertai Juventus, Julai lalu selepas menjaringkan 44 gol bersama kelab itu musim lepas.

“Cristiano meletakkan penanda aras yang cukup tinggi di Real Madrid. Anda tidak boleh menutup matahari dengan menggunakan jari.

“Dia menjaringkan gol yang banyak semasa bersama kami tetapi perkara itu sudah berlalu dan kami perlu melupakannya,” katanya.

Nikola Vlasic menjaringkan gol kemenangan CSKA pada minit kedua untuk membolehkan mereka mengetuai Kumpulan G dengan empat mata.

Ia kali pertama sejak 2007, Real gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut dan tiga percubaan mereka di Rusia sekadar terkena palang.

Real sebelum ini dimalukan 3-0 oleh Sevilla dalam saingan La Liga pada 27 September, sebelum seri 0-0 dengan Atletico Madrid, 30 September lalu.

Kelab baharu Ronaldo, Juventus menang selesa 3-0 ke atas Young Boys dalam Kumpulan H, namun Ronaldo tidak beraksi akibat digantung perlawanan. – AGENSI