Kecuali Cristiano Ronaldo yang sudah pasti tempatnya dalam ke­sebelasan utama untuk merobek gawang Bayern, nasib Gareth Bale dan Karim Benzema masih samar-samar selepas tidak lagi menjadi pilihan utama jurulatih Zinadine Zidane.

“Memang mereka bermasalah sedikit ketika ini. Apabila kerap terlepas menjaringkan gol, mereka berada dalam dilema dan tertekan. Tetapi penyelesaiannya mudah sahaja. Mereka kena terus bekerja keras untuk menjaringkan gol. Ini hanya masalah sementara sahaja.

“Pada masa yang sama, tiada pemain yang berasa sedih. Saya bercakap dengan mereka tempoh hari, kedua-duanya mahu menjaringkan lebih banyak gol tetapi pemain lain juga bermain dengan baik dan berada dalam prestasi terbaik mereka,” kata Zidane.

Jika Isco diturunkan dalam ke­sebelasan utama bermakna Zidane bakal mencorakkan jentera serangan yang sama sekali berbeza dalam aksi penting ini.

Malah minggu lalu, pengendali dari Perancis itu mengakui langsung tidak bimbang tanpa Bale dan Benzema kerana Ronaldo masih mampu menyinar bersama pemain lain apabila sudah menja­ringkan 22 gol dalam 12 perlawanan atau sekurang-kurangnya satu gol dalam setiap perlawanan terakhir Real di peringkat Eropah.

“Kami akan cuba menjaringkan gol (di Alianz Arena) dan apa yang perlu dilakukan ialah berfikiran positif selain kena sedar, apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak tidak kira siapa yang diturunkan nanti,” tegasnya.

Kemerosotan yang menimpa Bale bermula sekembalinya daripada kecederaan awal tahun ini sehingga kerap memanaskan bangku simpanan sahaja termasuk ketika menentang Paris Saint-Germain dan Juventus sebelum ini.

Walau bagaimanapun Benzema lebih banyak diberi peluang beraksi tetapi ketumpulannya kebelakangan ini menjadi masalah utama yang masih belum mampu diselesaikan hingga sekarang apabila hanya mampu menjaringkan satu gol dalam 10 perlawanan atau empat gol dalam 24 perlawanan.

Ketika ini, Zidane yang kerap menggunakan sistem 4-4-2 ter­utama dalam perlawanan penting musim ini dilihat lebih meletakkan kepercayaan kepada Lucas Vazquez dan Marco Asensio yang memiliki kesungguhan dan disi­plin baik sewaktu menyerang mahu pun bertahan. – AFP