Dengan kedua-dua pasukan kini terikat 87 mata sama selepas kemenangan Real ke atas Sevilla dan kejayaan Barcelona mengatasi Las Palmas, penentuan juara liga di Sepanyol musim ini dijangka hanya dapat diketahui sehingga aksi terakhir.

Ketika ini, kelebihan dilihat kepada Real yang beraksi kurang satu perlawanan berbanding Barcelona namun dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku di saat genting seperti ini.

Pengendali Real, Zinadine Zidane sendiri tidak mahu terlalu yakin dengan kedudukan semasa itu terutama dalam menghadapi dua pasukan yang pernah mengejutkan Barcelona dalam aksi liga domestik sebelum ini.

“Pada saya perjalanan masih jauh. Kami tahu untuk muncul juara liga di Sepanyol bukan mudah. Dari hari ke hari, kami semakin hampir untuk merangkulnya kerana terus mencatat kemenangan. Tetapi ada dua aksi lagi yang kami perlu wajib menang,” katanya.

Rakan sejawat Zidane di Barcelona, Luis Enrique pula terus meletakkan harapan tinggi kepada Celta Vigo dan Malaga yang bakal berdepan Real agar dua pasukan itu mampu melakukan kejutan sama seperti mereka mengejutkan pasukannya sebelum ini.

Madrid akan bertandang ke Celta Rabu ini diikuti Malaga untu aksi terakhir musim ini pada Ahad di mana pada hari sama Barcelona pula akan menentang Eibar.

“Faktanya ialah Real berdepan pasukan yang pernah menewaskan kami musim ini manakala kami ada satu perlawanan yang perlu dimenangi. Kalau kami kalah, habis cerita,” kata Enrique.

Pada aksi awal pagi ini, Cristiano Ronaldo menyumbang dua gol buat Real selain satu dari Nacho dan Toni Kroos manakala Neymar melakukan hatrik ketika membantu Barcelona selain satu lagi gol sumbangan Luis Suarez. – AFP