Keputusan itu bermakna, Messi terpaksa juga dihantar ke penjara selepas didapati bersalah menipu cukai pendapatannya. Dia sebelum ini telah memfailkan rayuan sebulan yang lalu.

Mengikut pertuduhan, pemain yang berasal dari Argentina itu bersama bapanya, Jorge Horacio Messi didakwa menggunakan beberapa syarikat di Belize (negara kecil yang bersempadan dengan Mexico dan Guatemala), Britain, Switzerland dan Uruguay untuk mengelak daripada membayar cukai pendapatan iklan berjumlah 4.16 juta euro (RM20j) yang diperoleh­nya dari tahun 2007-2009.

Pendapatan tersebut adalah hasil daripada penjualan hak imej yang cuba disembunyikan Messi menerusi kontrak bersama penaja seperti Danone, Adidas, Pepsi-Cola, Procter & Gamble dan sebuah syarikat makanan dari Kuwait.

Ketika hukuman ke atas Messi dikekalkan, nasib berbeza dialami bapanya apabila Mahkamah Agung meringankan hukuman daripada 21 bulan penjara kepada 15 bulan penjara sahaja.

Ini selepas mahkamah tersebut mengambil kira tindakan Messi membayar semula cukai pendapatan yang disembunyikannya kepada pihak berkuasa di Sepanyol.

Sebelum ini ketika memberi keterangan pada perbicaraan tahun lalu, Messi mengaku dia mempercayai urusan kewangan yang dilakukan bapanya tetapi tidak tahu menahu bagaimana ianya diuruskan.

Bagaimana Mahkamah Agung tidak bersetuju dengan hujah itu sebaliknya menegaskan, Messi sepatutnya mengambil tahu dan bertanggungjawab untuk membayar cukai pendapatan hasil daripada penjualan imej­nya kepada pengiklan. – AFP