Penjaga gol No.1 Chelsea itu dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Michael Oliver selepas dia menjatuhkan pemain Swansea, Bafetimbi Gomis dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris minggu lalu.

Chelsea mempertikaikan bahawa Gomis telah “dinafikan peluang jelas” untuk menjaringkan gol ke­rana bola tidak menuju gawang dan Gary Cahill berada di belakang.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak England (FA) menolak rayuan mereka dan Courtois tidak akan bermain dalam perlawanan Chelsea menentang Manchester City pada Sabtu ini.

“Pemain tersebut (Courtois) telah digantung untuk satu perlawanan dan hukuman dilaksanakan serta-merta.

“Bagi kelab yang ingin rayuan mereka diterima maka mereka perlu mengemukakan bukti secara bertulis atau melalui rakaman video untuk membuktikan keputusan pengadil perlawanan adalah silap,” kata FA dalam kenyataannya.

Dalam perlawanan itu, skuad bimbingan Jose Mourinho sedang mendahului 2-1 sebelum Courtois diarah keluar padang.

Penjaga gol kebangsaan Belgium itu akan digantikan oleh Asmir Begovic ketika berdepan City pada minggu ini. – AGENSI