Penjaring terbanyak tahun lalu dari Brazil itu dijatuhkan hukuman tersebut selepas didapati bersalah atas tindakannya menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua, termasuk menolaknya sewaktu perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu menentang Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 16 Mei lalu.

“Paulo Rangel telah didapati bersalah kerana melanggar Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015, dibaca bersama dengan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015.

“Pemain itu diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

“Bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM 2015 yang mana Paulo Rangel dikenakan penggantungan selama tiga bulan pertama dahulu (20 Jun hingga 19 September) dan baki tiga bulan (20 September hingga 19 Disember) adalah ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain,” menurut kenyataan FAM semalam.

Tambah kenyataan itu, jika pemain berusia 30 tahun itu melakukan perlanggaran serius di bawah Artikel 49 FAM Kod Tatatertib 2015, baki penggantungan tersebut akan dikuatkuasakan serta-merta ke atasnya.

Bagaimanapun, keputusan itu masih boleh dirayu.

Sementara itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) II didenda RM5,000 kerana menurunkan pemain yang tidak layak untuk bermain semasa perlawanan suku akhir kedua Piala FA menentang Lions XII di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang pada 22 April lalu.

“Dilucutkan hak untuk perlawanan ini di bawah Artikel 32 Kod Tatatertib FAM dan pasukan itu dikira telah kalah dalam perlawanan tersebut dengan jaringan 0–3 ke atas Lions XII.

“Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama,” menurut kenyataan itu, yang menambah keputusan itu tidak boleh dirayu.