Selepas menyempurnakan tugasnya ketika sepakan penalti penentuan, Ramos mengambil bola dan menanti Denis Cheryshev, dan berjalan melepasi bekas rakan sepasukannya dengan Real Madrid itu.

Ketika berselisih, Ramos merapatkan wajahnya kepada pemain Rusia itu yang fasih berbahasa Sepanyol, dan berkata sesuatu yang sudah pastinya tidak enak didengar untuk cuba mengganggu konsentrasi Cheryshev.

Walau bagaimanapun, helah tersebut tidak berkesan kepada Cheryshev yang tetap tenang ketika menyempurnakan sepakan penalti yang meletakkan Rusia di ambang kemenangan.

Sebaliknya, rakan sepasukan Ramos, Iago Aspas yang gagal mengatasi penjaga gol Rusia, Igor Akinfeev sekali gus menyaksikan pasukan tuan rumah mara ke suku akhir buat kali pertama sejak perpecahan Kesatuan Soviet.

Terpaksa menelan realiti yang amat pahit, Ramos jelas begitu kecewa sehinggakan dia melutut sambil menangis. Pemain pertahanan itu kemudian ditenangkan oleh pengurus, Fernando Hierro. – AGENSI