Sejak kecil, bintang pertahanan Real Madrid itu telah didedahkan dengan sukan ekstrem tersebut dan sering menyaksikan lelaki yang dipanggil matador bertarung dengan 1,000 ekor lembu jantan.

Ramos yang mendapat pendidikan awal di sebuah sekolah yang melahirkan ramai matador handalan turut diajar cara-cara untuk menjinakkan lembu.

Maka tidak hairanlah pemain berusia 31 tahun itu pernah menyimpan hasrat untuk bergelar seorang matador sekiranya dia tidak menjadikan bola sepak sebagai profesyen tetapnya. Ramos juga memiliki keyakinan yang cukup tinggi untuk ‘menakluk’ haiwan tersebut sekiranya diberi peluang beraksi di dalam pertandingan itu.

“Saya berasakan seperti ada satu hubungan dengan dunia tersebut kerana keluarga saya dan bandar tempat saya dilahirkan cukup dekat serta sinonim dengan pertandingan laga lembu jantan.

“Keadaan seperti anda sememangnya dilahirkan untuk memiliki kelebihan itu, walaupun anda berada di atas padang, anda akan lupa segala-galanya. Saya percaya, saya memiliki kualiti seorang matador,” kata Ramos yang bersahabat baik dengan matador terkenal Alejandro Talavante.

Berikutan latar belakang yang dimilikinya, bapa kepada dua putera itu tidak pernah lari daripada membawa imej seorang matador apabila dia sering berbuat demikian setiap kali meraikan kejayaan bersama Real Madrid mahupun skuad kebangsaan Sepanyol.

Gaya Ramos yang kelihatan bersahaja sambil mengibarkan mantel kelab ataupun negaranya, lagak seperti seorang matador sering kali mencuri perhatian lensa media.

Tidak cukup setakat itu, pemain yang sering kali dianggap sebagai lelaki sempurna di mata wanita lantaran memiliki wajah yang segak dan bertubuh sasa dengan ketinggian mencecah 1.83 meter, Ramos juga dilihat sebagai pemain yang cukup agresif oleh lawannya.

Mungkin di atas faktor itu juga, Ramos tidak pernah terlepas daripada menjadi perhatian pengadil apabila dia mencatat rekod selaku pemain Real Madrid paling banyak dilayangkan kad merah.

Bagaimanapun, rekod itu tidaklah begitu mengejutkan, memandangkan Ramos merupakan seorang pemain yang beraksi di bahagian tengah pertahanan Los Blancos dan atas sebab itu dia mudah terdedah kepada tindakan tegas pengadil.

Selain agresif, Ramos merupakan pemain yang turut digeruni lawan terutamanya ketika bersaing merebut bola di udara, maka tidaklah menghairankan sekiranya pemain itu menjadi ancaman terbesar jika Real mendapat sepakan bebas ataupun sepakan sudut.

Ramos turut memiliki teknik permainan yang berkualiti tinggi dan mahir melakukan hantaran silang berbahaya ke kubu pasukan lawan.