Mesir, Tunisia, Arab Saudi dan Maghribi, empat negara yang memiliki penduduk majoriti Islam akan bertanding pada Piala Dunia di Rusia yang bakal menyempurnakan sepak mula, esok, iaitu hari terakhir umat Islam berpuasa.

Sepanjang Ramadan, penganut agama Islam tidak akan makan dan minum bermula daripada matahari terbit sehinggalah matahari terbenam. Amalan berpuasa telah mencetuskan perbezaan pendapat dalam kalangan pemain, peminat, jurulatih dan juga pendakwah, dan tahun ini, tiada perbezaannya.

Menjelang Piala Dunia, kegagalan Mesir melakar sebarang kemenangan dalam aksi persahabatan, yang mana ketiga-tiga pertemuan itu dilangsungkan sepanjang Ramadan, telah mencetuskan kritikan daripada peminat.

Namun, di sebalik persembahan buruk mereka, The Pharaohs tetap yakin untuk menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Mesir pada penghujung Mei lalu.

Selepas pasukan itu diikat dengan keputusan seri 0-0 menentang Colombia pada 1 Jun lepas, jurulatih The Pharaohs yang berasal dari Argentina, Hector Cuper berkata, puasa ternyata telah menjejaskan prestasi anak-anak buahnya.

Komen Cuper itu hadir tidak lama selepas bintang Mesir, Mohamed Salah ditimpa kecederaan sewaktu bermain untuk Liverpool dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara.

Salah, yang merupakan penganut agama Islam tidak berpuasa menjelang perlawanan menentang Real Madrid pada 26 Mei lalu di Kiev, yang berkesudahan Liverpool tewas 1-3.

Seorang pendakwah dari Kuwait yang dikenali sebagai Sheikh berkata, kecederaan menimpa Salah, yang menyaksikan pemain sayap itu tidak diturunkan dalam kesemua aksi persahabatan, merupakan satu hukuman daripada tuhan.

Bagaimanapun, ramai tokoh agama dan penduduk Islam di seluruh dunia mempertahankan keputusan Salah, baik di Mesir dan juga di dunia Arab.

Pihak berkuasa tertinggi agama di Mesir, Al-Azhar, turut mengambil pendekatan berdasarkan tolak ansur.

“Jika atlet berdepan kesukaran untuk mendapatkan prestasi yang baik pada ketika berpuasa, sedangkan dalam masa sama mereka perlu memenuhi tanggungjawab, maka atlet berkenaan dibolehkan tidak meneruskan puasa mereka,” kata Pusat Antarabangsa Al-Azhar untuk Electronic Fatwa kepada AFP. - AFP