Ini sekaligus menyaksikan pemain Barcelona itu terlepas satu lagi aksi Kumpulan A, Liga A menentang England di Wembley esok dan ia disahkan sendiri jurulatih, Zlatko Dalic.

Croatia perlu menang ke atas England jika berhasrat mengungguli kumpulan tersebut sekaligus layak ke aksi final membabitkan empat pasukan terbaik pada tahun depan.

"Dia akan pulang ke Barcelona, kecederaannya serius. Anda tahu saya tidak suka mengambil risiko. Jika ada yang tidak kena sehingga boleh menyebabkan cedera itu bertambah serius, kami akan rehatkannya.

“Kami hanya mahu menurunkan pemain cergas sahaja dan Ivan buat masa ini tidak cergas 100 peratus. Malang sekali kami akan beraksi (menentang England) tanpanya,” kata Dalic.

Rakitic, 30, yang hanya beraksi sebagai pemain gantian ketika menentang Sepanyol tempoh hari sudah pun membuat 102 penampilan antarabangsa bersama Croatia namun Dalic mengesahkan mereka sudah pun ada pengganti sesuai.

"Kami ada (Mateo) Kovacic, (Josip) Brekalo dan (Milan) Badelj. Tidak boleh mengharapkan lagi orang yang sudah cedera. Kami akan mencari jalan penyelesaian dan berseronok di Wembley," tambahnya.

Pasukan yang menang perlawanan England-Croatia ini akan layak ke separuh akhir manakala yang kalah akan turun ke Liga B musim depan. Seri bagaimanapun akan membolehkan Sepanyol yang layak. – REUTERS